Loji rawatan kumbahan tak sempurna punca pencemaran

Loji rawatan kumbahan tak sempurna punca pencemaran

Penyelenggaran loji rawatan kumbahan tidak sempurna berikutan kos operasinya yang tinggi.

loji

SEPANG:
Loji rawatan kumbahan yang tidak diselenggara dengan sempurna dikenalpasti antara punca pencemaran sungai di negara ini.

Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail yang menyifatkan perkara itu sebagai membimbangkan.

Mohd Ridhuan mendakwa pihak penyelenggara loji rawatan kumbahan gagal melakukan tugas dengan sempurna berikutan kos operasinya yang tinggi.

“Kos operasi loji rawatan kumbahan tinggi tetapi pendapatan operator (pihak penyelenggara) adalah rendah. Bagaimana mahu menyelenggara loji kumbahan dengan baik?

“Operator tidak boleh mengenakan caj tinggi kepada pengguna kerana kena fikir juga keadaan pengguna. Keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap segelintir pengguna yang tidak membayar caj rawatan kumbahan kepada operator.

“SPAN meminta operator loji rawatan mengoptimumkan operasi, namun kesan sampingan ialah pencemaran sungai,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT, di sini, baru-baru ini.

Mohd Ridhuan berkata, terdapat kira-kira 6,000 loji rawatan kumbahan di Semenanjung Malaysia dan Labuan di bawah seliaannya, di mana 60 hingga 80 dikategorikan sebagai loji rawatan kumbahan berkapasiti tinggi.

Katanya, pihaknya tidak membenarkan operator menaikkan caj perkhidmatan ketika ini, namun meminta pengguna menyokong dengan membayar bil rawatan kumbahan, sekaligus membolehkan loji beroperasi pada kadar optimum dan mengurangkan pencemaran.

Difahamkan, terdapat lebih 10 operator loji rawatan kumbahan Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Baru-baru ini, Orang Asal di sepanjang Sungai Langat di sini, mendakwa pencemaran sungai utama di negeri ini, masih berleluasa.

Rata-ratanya menyuarakan kebimbangan mengenai tahap pencemaran sungai berkenaan yang disifatkan teruk dan mengancam kesihatan.

Orang Asal mendakwa, punca pencemaran dikenalpasti mereka ialah kegiatan melombong pasir, pelupusan sampah haram, operasi kilang dan pembuangan sisa dari loji rawatan kumbahan di sepanjang sungai.

FMT juga cuba menghubungi salah satu operator loji rawatan kumbahan di Malaysia untuk mendapatkan respon namun gagal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.