Orang Sarawak lebih tahu – Nazri

Orang Sarawak lebih tahu – Nazri

Siapa Ketua Menteri sekiranya pembangkang memenangi Sarawak, soal Nazri

Nazri-Aziz_talk_600

KUCHING:
Keamanan dan keharmonian pelbagai kaum di Sarawak perlu digunakan sebagai templat perpaduan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Bercakap kepada pemberita di sidang media hari ini, Nazri membandingkan perpaduan rakyat di Sarawak kepada rakyat di Semenanjung, yang pada amatannya, keduanya menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Tiada masalah antara Bidayuh, Iban, Mulu, Melayu, Melanau dan etnik-etnik lain atau antara Islam dan bukan Islam.

“Orang Sarawak lebih tahu. Keputusan Kerajaan Negeri melarang orang tertentu masuk Sarawak adalah langkah yang bagus dan saya sokong Tok Nan (Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem) 100%,” katanya.

“Saya juga akan lakukan perkara yang sama sekiranya saya Ketua Menteri,” katanya di Hotel Grand Margherita di sini hari ini.

Beliau juga menyokong langkah Adenan membenarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masuk ke Sarawak tetapi mengehadkan keberadaannya setakat 2 Mei sahaja.

“Bagus Azmin hanya diberi tempoh setakat 2 Mei. Pembangkang hanya mahu mengulingkan Barisan Nasional.

“Jika mereka yakin boleh memenangi pilihan raya Sarawak ini, siapa yang akan jadi Ketua Menteri mereka? Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen? Ahli DAP sendiri akan bantah.

“Siapa lagi? Bian Lama? Bian Baru?” seloroh Nazri, merujuk kepada Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian.

Beberapa pimpinan pembangkang telah dihalang dari memasuki Sarawak selepas Adenan mendakwa seringkali ramai yang memberikan ucapan yang tidak benar dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Antara yang dilarang termasuk Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke daripada DAP; EXCO Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin daripada PKR; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Bagaimanapun Adenan membenarkan mereka yang disenarai hitam memasuki semula Sarawak selepas pilihan raya negeri selesai dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.