Beliau merujuk kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Ada dalam kalangan mereka (pemimpin UMNO) mengkritik dalam had yang dibenarkan parti. Bagaimanapun, Muhyiddin dan Mukhriz pasti dipecat.”
Nazri turut berpendapat bekas Menteri, Tan Sri Shafie Apdal akan turut dipecat.
Walaupun Shafie tidak melanggar mana-mana peraturan UMNO, Nazri berkata Naib Presiden UMNO itu telah melampaui batas dengan menghadiri acara “Bicara Isu Semasa” di Jitra, Kedah malam tadi bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz.
“Shafie tidak melampaui batas sehinggalah malam tadi. Mahathir kini bersama pembangkang, maka apabila beliau bekerjasama dengannya, jelas Shafie juga telah melampaui batas dan akan dipecat,” kata Nazri di sidang media di Hotel Grand Margherita hari ini.
Ketika ditanya bila UMNO akan bertindak ke atas trio itu, Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata keutamaan pada ketika ini adalah pilihan raya negeri Sarawak.
“Lebih mudah untuk kita bertindak sekiranya kita beri masa kepada mereka untuk melakukan kesilapan demi kesilapan,” katanya.
Dalam ucapan malam tadi, Mahathir mengkritik cara Najib menguruskan sumber negara dan gaya hidup mewah beliau.