
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata papan iklan #BebasAnwar yang dipasang di sekitar Selangor masih belum diturunkan.
“Kalau pihak kerajaan negeri di bawah pimpinan Azmin Ali masih mempertikaikan Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik, maka bangsatlah dia.
“Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah memberi arahan supaya billboard ini diturunkan serta-merta, jadi saya lihat masih tidak diturunkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Subang, hari ini.
Ujarnya, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sendiri, selain menggesa pihak berkuasa supaya tegas dalam menjalankan tugas mereka.
“Saya minta pihak polis bertindak tegas untuk menurunkan papan iklan ini dan kami pihak NGO tidak akan teragak-agak dalam waktu terdekat ini untuk mengambil tindakan ikut cita rasa kami sendiri,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Jamal mendakwa, kerajaan negeri lebih berminat dengan politik berbanding menjaga kebajikan rakyat.
“Saya melihat kerajaan negeri bukanlah berminat sangat nak membela rakyat, mereka hanya bermain dengan politik semata-mata untuk memburukkan kerajaan pusat, sedangkan apa yang mereka lakukan di negeri Selangor ini hanya main wayang semata-mata,” katanya.
Bagi Jamal, papan iklan #BebasAnwar yang diletakkan di sekitar Selangor itu jelas berbaur hasutan serta tidak baik untuk imej Selangor.
“Terang-terangan papan iklan itu bersifat hasutan, seolah-olah pihak kehakiman negara kita menganiaya Anwar. Sedangkan kita sedia maklum Anwar telah menjalani perbicaraan selama tujuh tahun dan hasilnya beliau telah dihukum,” ujarnya.
Sebelum ini, Azmin telah disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung papan iklan #BebasAnwar yang dikesan dipasang di 20 lokasi di Selangor, termasuk di Subang dan Rawang, namun beberapa papan iklan di Ampang telah diturunkan.
Pada 26 April lalu, Azmin yang disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana papan iklan #BebasAnwar itu dilaporkan sebagai berkata, polis hanya membuang masa dengan menyiasatnya kerana tindakan menaikkan papan iklan itu tidak salah.