Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PR tidak lagi sepakat dan perbalahan dijangka hangat, apabila sesi ceramah yang diadakan sudah pasti dipenuhi cemuhan sesama sendiri.
“Inilah kali pertama parti-parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PAS, PKR dan pecahan terbaru daripada PAS, iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH) saling merebut kerusi Dewan Undangan Negeri antara satu sama lain,” tulisnya dalam kolum di Sinar Harian, hari ini.
Kata beliau lagi, perbalahan antara PAS dan AMANAH tidak dapat dielakkan, apabila ada segelintir ahli yang memberi gelaran tidak baik kepada parti lawan.
“Sudah ada yang sanggup menggelar PAS sebagai ‘Parti Ahli Syurga’, manakala PAN sebagai ‘Parti Ahli Neraka’.
“Hakikatnya, inilah politik mereka, apabila duduk serumah, tidur sebantal, makan sepinggan, semuanya indah pada pandangan mata masing-masing.
“Namun, setelah berpisah dan menjadi musuh antara satu sama lain, semuanya bertukar 180 darjah sehinggakan apa yang baik sekalipun, akan dipandang buruk di mata lawan,” jelasnya.
Bagi Asyraf Wajdi, pertelingkahan antara parti-parti pembangkang adalah politik fanatik dan taksub yang diasaskan atas dasar ukhuwah jamaiah (kelompok dan puak) dan jauh daripada nilai serta akhlak Islam sebenar yang diasaskan atas dasar ukhuwah Islamiah (persaudaraan Islam).
Tidak terhenti di situ, beliau turut memberi gambaran pada zaman Arab jahiliah, orang-orang Arab sangat taksub dan fanatik kepada kabilah dan puak masing-masing, bahkan mereka sanggup berperang bermati-matian sehingga berkurun lamanya, hanya kerana perkara kecil.
“Peperangan mereka itu hanyalah atas dasar mempertahankan kabilah masing-masing, tanpa melihat siapa benar, siapa salah melalui prinsip keadilan, sebagaimana terjadi kepada kabilah Aus dan Khazraj di Madinah, sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW yang mempersaudarakan mereka sebagai orang Ansar,” ujarnya.
