PKR tidak akan beri laluan kepada DAP

PKR tidak akan beri laluan kepada DAP

Xavier menegaskan, PKR meletakkan calon-calon berkelayakan dengan alasan-alasan kukuh di enam kerusi yang turut ditandingi DAP.

Dr-Xavier-Jayakumar

KUCHING:
PKR tidak akan bertolak ansur dan melepaskan kerusi yang turut ditandingi DAP, demikian tegas Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.

“Tiada gunanya gesa kami lepaskan lima kerusi hanya untuk Batu Kitang. Cadangan pertukaran lima kepada satu kerusi menunjukkan DAP tidak serius di Batu Kitang.

“Berbanding calon yang diturunkan DAP pada saat-saat akhir, calon PKR, Voon Shiak Ni telah berkhidmat di Batu Kitang hampir 10 tahun.

“PKR ingin tekankan, kami meletakkan calon-calon berkelayakan dengan alasan-alasan kukuh,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Lima kerusi yang dimaksudkan DAP itu ialah Mulu, Murum, Ngemah, Mambong dan Simanggang.

Tambah Xavier, nama calon-calon yang akan bertanding di lima kerusi itu akan kekal dalam kertas undi, sekalipun mereka menarik diri daripada bertanding pada 7 Mei nanti.

“Calon-calon kami tidak akan menarik diri untuk memberi laluan kepada calon-calon DAP bertanding sebagai pertukaran,” katanya.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dilaporkan sebagai berkata, parti itu sedia mengeluarkan calonnya, Abdul Aziz Isa daripada kerusi Batu Kitang, dengan syarat PKR turut menarik diri daripada lima kerusi lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.