Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun tidak pesimis dan berkata pihaknya menanti masa depan yang mungkin menyaksikan kerjasama antara kelab Serie B Liga Itali itu dengan kelab bola sepak tempatan.
“Mungkin di peringkat awal tidak ada, tetapi sekiranya dalam tahun akan datang, pasukan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia boleh ada hubungan kerjasama yang formal dengan kelab-kelab yang ada di Malaysia.
“Sama ada dalam bentuk penghantaran pemain ataupun dalam bentuk pembangunan jurulatih,” katanya dalam sidang media di Kementerian Belia dan Sukan, sempena majlis Pra Pelancaran Hari Belia Negara 2016, hari ini.
Dr Noordin, seorang ahli perniagaan yang berpengalaman luas dalam bidang minyak dan gas, pendidikan dan penstrukturan korporat, mencetuskan kejutan selepas membeli 50 peratus pegangan saham FC Bari baru-baru ini.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata pembelian FC Bari itu merupakan satu inisiatif untuk membantu atlit bola sepak Malaysia bermain di Eropah.
Ditubuhkan pada 1908, Bari menghabiskan sekurun untuk menaiki tangga liga Itali ke Serie A namun menemui jalan buntu. Kelab itu pernah memenangi Serie B sebanyak dua kali dan Serie C empat kali.
Bari pernah melahirkan beberapa pemain berbakat seperti Antonio Cassano yang berhijrah daripada Bari ke Roma pada 2001 untuk 30 juta Euro, dan bekas pengarah teknikal Tottenham Hotspur, Franco Baldini.
