Najib akan menghadap segera Sultan Terengganu

Najib akan menghadap segera Sultan Terengganu

PM akan membuat kenyataan rasmi selepas pertemuan tertutup itu diadakan nanti.

najib-,sultan-mizan

PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu membabitkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tanpa mendedahkan bila dan lokasi pertemuan itu bakal diadakan, Najib turut meminta rakyat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan, lapor Berita Harian Online.

“Saya akan menghadap Sultan Terengganu dalam tempoh terdekat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di sana. Kita minta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang andaian berhubung apa yang berlaku.

“Menteri Besar Terengganu masih melaksanakan tugas beliau seperti biasa, malah Kerajaan Terengganu tetap berfungsi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Rumah Rehat Kerajaan, di Lundu, Sarawak, hari ini.

Najib berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi selepas pertemuan tertutup itu diadakan nanti.

Kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar menjadi persoalan apabila pihak Istana Terengganu dikatakan menarik balik gelaran kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan daripada pihak Istana berhubung penarikan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.