Pilihan Raya Sarawak paling aman – Pengerusi SPR

Pilihan Raya Sarawak paling aman – Pengerusi SPR

Serahkan sahaja sebarang keputusan kepada SPR untuk menguruskannya.

Mohd-Hashim-Abdullah_spr_sarawak_600

KUCHING:
Tidak ada negeri lain di Malaysia yang mempunyai rekod baik seperti Sarawak apabila datang pilihan raya, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, musim pilihan raya di Sarawak sering pergi dengan aman dan penuh dengan semangat perpaduan.

“Saya harap Sarawak tidak akan memecahkan rekod itu sendiri. Maka pada hari penamaan calon Isnin ini, penyokong parti atau calon diminta untuk tidak datang dan berkumpul dalam jumlah yang besar di pusat-pusat yang ditetapkan.

“Jika mereka melanggar peraturan ia akan mengganggu tugas pegawai-pegawai SPR,” katanya pada sidang media di pejabat SPR di sini hari ini.
Beliau kemudian meminta pengundi untuk mengikuti cara di negara-negara lain dalam berhadapan dengan pilihan raya.

“Di sesetengah negara, pengundi hanya datang dan mengundi, maka mereka pulang ke rumah dan mendengar mengenai siapa yang menang.

“Mereka menyerahkan kepada pegawai SPR untuk mengendalikan semua perkara-perkara yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai bantahan pembangkang terhadap pasukan beruniform yang akan mengundi, Mohd Hashim berkata, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan.

Pada Pilihan Raya Umum lalu ada pihak mendakwa, puluhan ribu warga Bangladesh yang diberi kad pengenalan palsu telah mengundi.

“Malah sehingga selepas pilihan raya saya tidak melihat jumlah 40,000 warga Bangladesh itu. Mungkin orang seperti saya, jika saya tidak sikat rambut saya juga akan kelihatan seperti seorang warga Bangladesh.

“Jadi untuk sesi pengundian awal di Sarawak, kita tidak membuat sebarang andaian negatif terhadap pegawai-pegawai beruniform. Kita sudah mempunyai bilangan orang-orang yang akan mengundi dalam setiap kem.

“Ia adalah perkara biasa bagi mereka yang bekerja di luar Sarawak untuk kembali ke sini bagi tujuan mengundi terutama jika kawasan mengundi yang didaftarkan adalah di negeri ini,” kata Mohd Hashim.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan diadakan pada 7 Mei ini dan setakat ini sebanyak 971 borang pencalonan telah dijual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.