Shazalli Ramly tolak spekulasi akan dilantik CEO MAB

Shazalli Ramly tolak spekulasi akan dilantik CEO MAB

Shazalli menyerahkan kepada Khazanah untuk mencari calon sesuai menggantikan Mueller yang akan meninggalkan MAB, September ini.

Shazali-Ramly
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly menafikan spekulasi beliau mungkin dipilih untuk menggantikan Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines Berhad (MAB).

“Saya akan terus berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif MAB. Saya tidak fikir akan berlaku sebarang perubahan tentang kedudukan itu,” katanya yang dipetik Malaysia Reserve.

Beliau mengulas pengumuman mengejutkan Mueller yang akan meninggalkan MAB pada September ini selepas 18 bulan menerajui syarikat penerbangan kebangsaan dengan kontrak selama tiga tahun.

Mueller bagaimanapun akan terus kekal sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAB.

Shazalli berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pemilik tunggal MAB, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk mencari pengganti Mueller.

“Saya serahkan kepada Khazanah untuk mencari calon yang sesuai menggantikan Mueller. Buat masa sekarang, saya akan memberi sumbangan apa yang perlu kepada Lembaga Pengarah MAB,” katanya.

Shazalli dikatakan pernah menjadi antara calon tempatan yang diberi tumpuan oleh Khazanah untuk mengetuai program transformasi MAB.

Syarikat penerbangan yang berdepan masalah kewangan itu mengadakan misi ke seluruh dunia bagi mencari ketua untuk program transformasi itu dan memilih Mueller, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Aer Lingus.

Khazanah mengambil alih syarikat penerbangan itu sepenuhnya pada 2014 dan menyuntik dana RM6 bilion untuk menjayakan pelan penstrukturan semula itu.

Di bawah pelan itu, syarikat penerbangan kebangsaan ditukar nama daripada MAS kepada MAB dan kira-kira 6,000 kakitangan dilepaskan selain menamatkan laluan-laluan tidak menguntungkan seperti Paris dan Amsterdam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.