Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) turut membidas Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA itu, kerana mendakwa Perlembagaan Persekutuan ‘menyerlahkan perkauman dan ekstremisme.’
Ibrahim berkata, kenyataan Lian Ker itu tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mempersoalkan kedudukan Raja-raja, agama Islam, hak istimewa Bumiputera dan kerakyatan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu perlu menunjukkan bahagian mana dalam Perlembagaan Persekutuan yang dilihat sebagai ‘menyerlahkan perkauman dan ekstremisme’ itu.
“Apa dia (Perlembagaan Persekutuan) yang menyerlahkan perkauman? Apakah Islam agama persekutuan? Apakah kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan? Adakah kerana kedudukan Raja-raja dan hak istimewa orang Melayu dan satu lagi hal kerakyatan?
“Kenyataan beliau ini adalah anti-nasional dan sebagai orang yang berpendidikan, beliau tidak sepatutnya bercakap macam itu,” katanya pada sidang media hari ini.
Sehubungan itu, Ibrahim mengingatkan Lian Ker supaya tidak sesekali membangkitkan isu sensitif, termasuk mempersoalkan kandungan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, asas kepada Perlembagaan Persekutuan adalah kontrak sosial yang tidak boleh disentuh atau diubah suai mana-mana pihak, termasuk ahli Parlimen.
“Kena terima hakikat Malaysia asalnya adalah Tanah Melayu. Majoriti penduduk Melayu dan Bumiputera. Ini bererti kaum majoriti yang tentukan hala tuju negara,” katanya.
Semalam, Lian Ker dalam kenyataannya mendakwa peruntukan mengenai bangsa dan agama dalam Perlembagaan Persekutuan menyerlahkan isu perkauman di negara ini dan diburukkan lagi oleh institusi dan pentadbiran yang dicemari sentimen perkauman dan agama.