PAS gesa kerajaan sambung kontrak Zeti

PAS gesa kerajaan sambung kontrak Zeti

PAS menegaskan, pengganti Zeti tidak patut terdiri daripada mereka yang berada dalam Kabinet atau Barisan Nasional

Zeti

PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS mahu kontrak Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz disambung, jika penggantinya belum dikenal pasti.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebooknya hari ini berkata, tindakan itu akan memberi peluang kepada Zeti untuk memenuhi hasratnya yang mahu melihat isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan, sebelum beliau berundur.

Ia susulan laporan menyatakan sayap pelaburan kerajaan itu telah membayar AS$3.5 bilion kepada Aabar BVI.

Sejak itu, 1MDB mendakwa ia mungkin adalah mangsa penipuan dalam pembayaran wang itu.

“Bulan April sudah hampir penghujungnya, nampaknya hasrat Tan Sri Zeti untuk mengambil ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai’ terhadap 1MDB, kerana gagal mengemukakan bukti berhubung wang sejumlah AS$1.83 bilion yang berada di luar negara, semakin malap,” katanya merujuk kenyataan Zeti, bulan lalu.

Zeti dijangka meninggalkan jawatannya akhir bulan ini, selepas 16 tahun menerajui Bank Negara.

Februari lalu, Zeti mengumumkan beliau tidak akan terus menyandang jawatan itu untuk satu penggal lagi dan mendedahkan tiada permintaan untuk beliau kekal di jawatan itu.

PAS menegaskan, pengganti Zeti tidak patut terdiri daripada mereka yang berada dalam Kabinet atau Barisan Nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.