Jurucakapnya, Firdaus Wong Wai Hung berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan kehadiran Dr Zakir seharusnya mengambil kira keputusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pihak berkuasa yang membenarkan penceramah itu meneruskan dakwahnya di sini.
“Tajuk Dr Zakir bagi kedua-dua ceramahnya di KL dan Melaka adalah difokuskan kepada ajaran Islam dan saya secara peribadi tertanya-tanya mengapa mereka ingin mempersoalkan lagi? Apakah kami sebagai Muslim tiada hak untuk memilih tajuk berkaitan Islam yang akan dikongsikan oleh DZN (Dr Zakir Naik) dan perlu mendapatkan persetujuan mereka?,” soalnya.
Firdaus berkata demikian kepada FMT, mengulas kritikan terbaru, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS), A Rajaretinam yang menyatakan bahawa Dr Zakir tidak layak bercakap tentang agama Hindu kerana didakwa tidak mendalami ajaran itu.
Malah, Firdaus turut menegaskan bahawa Dr Zakir tidak pernah menganggap dirinya seorang yang pakar dan ulama dalam agama Islam apatah lagi, Hindu seperti yang didakwa MIPAS, sebaliknya, beliau adalah seorang penuntut ilmu sampai mati.
“Beliau cuba merapatkan jurang perbezaan antara agama di seluruh dunia dengan mencari persamaan yang wujud antara agama utama dunia.
“Malahan, jikalau mereka (MIPAS) mengatakan Dr Zakir tidak layak bercakap hanya kerana beliau bukan seorang beragama Hindu, mereka sepatutnya melihat kepada contoh yang ditunjukkan oleh Sri Sri Ravishankar yang berdialog dengan Dr Zakir pada 2006 dengan topik; “The Concept of God in Hinduism and Islam – In The Light of Sacred Scriptures,” katanya.
Mengulas mengenai tuduhan Rajaretinam yang menyatakan Dr Zakir tidak boleh dibandingkan dengan Allahyarham bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Firdaus berkata, isu tersebut tidak perlu dibangkitkan kerana Dr Zakir tidak pernah menganggap dirinya lebih dari segalanya.
“Kita tidak perlu membandingkan antara Dr Zakir dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz kerana kedua-duanya dalam bidang yang berbeza namun, secara umumnya umat Islam di Malaysia menghormati kedua-duanya.
“Jikalau diberikan contoh antara keduanya boleh diibaratkan seperti langit dan bumi, maka, bukankah sahabat dari MIPAS perlu mengambil teladan dari pakar agama Hindu Sri Sri Ravishankar yang berdialog dengan DZN malahan, memuji DZN serta mengakui kesilapannya dalam bukunya sendiri?,” katanya.
Justeru, Firdaus mengulangi pendirian pihak penganjur, bahawa mereka terbuka menerima kumpulan yang berlainan agama untuk turut serta dalam ceramah Dr Zakir dan boleh bertanya soalan secara terus sekiranya mereka tidak berpuas hati.