Jatuhkan Najib sebelum bebaskan Anwar – Dr Mahathir

Jatuhkan Najib sebelum bebaskan Anwar – Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata, rakyat perlu bersatu, kerana selagi Najib menjadi Perdana Menteri, tiada perubahan boleh dilakukan

SHAH ALAM:
Usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan berjaya, sekiranya agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi fokus utama kempen Gerakan Selamatkan Malaysia, menerusi Deklarasi Rakyat.

Demikian tegas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab desakan penyokong pembangkang yang menyarankan agenda membebaskan Anwar turut dimasukkan dalam senarai tuntutan Deklarasi Rakyat.

Dr Mahathir menjelaskan, fokus utama Deklarasi Rakyat adalah menjatuhkan Najib selaku Perdana Menteri dan sekiranya usaha itu berjaya, ia akan memudahkan perancangan kepimpinan baru untuk membuat keputusan lain, termasuklah membebaskan Anwar.

“Kalau nak buat keputusan tentang (pembebasan) Anwar itu (dalam Deklarasi Rakyat), kita akan berpecah. Saya adalah manusia biasa, manusia biasa ni tak sunyi daripada kesalahan.

“Kita kena ada pemikiran yang waras, yang berasaskan perhitungan bijak, supaya kita menang dalam perjuangan kita. Kalau kita ikut selera, nafsu, percayalah kita tak akan berjaya.

“Selagi ada Najib di situ (sebagai Perdana Menteri), jangan fikir kita boleh buat apa-apa perubahan, sebab itu kita kena bersatu untuk tujuan singkirkan Najib.

“Untuk mendapat sokongan ramai, kita perkecilkan matlamat atau perjuangan kita kepada yang boleh diterima semua. Dengan itu, kita akan berjaya. Kalau bangkitkan soal nak itu dan ini, maaf, kita akan gagal,” katanya ketika sesi soal jawab Forum Laporan PAC 1MDB ‘Najib Bersubahat atau Tidak Bersalah?’ malam tadi.

Dr Mahathir yang dipetik The Australian pada Isnin lalu menegaskan, Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri, selain mempertahankan tindakannya memecat Anwar pada 1998 daripada Kabinet dan UMNO.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sekiranya usaha menjatuhkan Najib berjaya, dari situ juga rakyat boleh membuat pilihan siapa yang mereka akan pilih untuk menjadi pemerintah.

“Saya setuju kalau sistem pemerintahan diubah, suara rakyat sebenar akan tentukan siapa yang akan perintah negara,” katanya.

Forum ini turut disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.