“Kita akan beri keputusan muktamad keatas kerusi yang akan ditandingi berdasarkan kepada hasil KPI (penunjuk prestasi utama) kita.”
“Keputusan kami hanya akan berdasarkan kepada kebarangkalian menang calon-calon kita, dan bukan atas sebab-sebab lain.”
Baru, yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, mendedahkan MPN Sarawak telah memaklumkan kepada pimpinan kebangsaan masing-masing bahawa peringkat negeri tidak boleh menerima keputusan berkenaan pengagihan kerusi yang dibuat di peringkat induk.
Beliau mengakui desas-desus bertiup kencang dalam kalangan komponen PH. “Meskipun rundingan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan belum dimuktamadkan, kita menerima beberapa petunjuk bahawa rundingan telah dikemudi kearah yang bertentangan dengan mandat yang diberikan MPN Sarawak.”
“Kita lebih suka jikalau rundingan dibuat di peringkat tempatan tetapi kita akur dengan permintaan DAP supaya rundingan diangkat ke peringkat kebangsaan.”
Baru mengingatkan bahawa MPN Sarawak mensyaratkan kepada pemimpin kebangsaan sekiranya rundingan diangkat ke peringkat kebangsaan, MPN Sarawak mengekalkan kuasa veto untuk membatalkan keputusan yang tidak selaras dengan kehendak mandat.
“Kita di peringkat negeri menghargai usaha beberapa pimpinan kebangsaan yang berunding bagi pihak kami di Kuala Lumpur.”
Malangnya, beliau mengeluh, apa yang disampaikan kepada PH Sarawak pada peringkat ini, berkenaan pengagihan kerusi, tidak selaras dengan keputusan di peringkat negeri.
“Demi berlaku adil kepada ahli-ahli setempat, dan demi menegakkan maruah MPN Sarawak berkenaan tanggungjawab dan janji kami kepada calon-calon berpotensi, kita mengambil keputusan untuk menggunakan kuasa veto.”
Baru percaya dengan mengambil balik mandat itu, ia memberi gambaran autonomi negeri diperakui oleh pimpinan kebangsaan.
“Kami percaya mereka akan menerima keputusan kami, kerana ia akan menjadi petunjuk positif akan pendirian mereka disamping autonomi Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, dan pendirian yang akan mereka ambil apabila Pembangkang akhirnya diberi mandat untuk memerintah negara.”
Malah, jelas Baru, “kita amat bertolak-ansur dalam tuntutan kerusi kami.”
“Kali ini, PKR Sarawak misalnya tuntut 40 kerusi sahaja, berbanding 49 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya lepas.”
Dengan pertambahan 11 kerusi di Sarawak, tuntuan PKR Sarawak sebenarnya tidak bertambah tetapi berkurangan. “PKR Sarawak sentiasa sedia berkongsi, dan telah berkongsi, lebih banyak kerusi dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.”
“Kami percaya yang kami bersikap jujur dan terbuka dengan rakan-rakan kami sepanjang masa dan kita sentiasa menghormati dan menunaikan janji kepada rakan-rakan kami dalam pakatan.”
Beliau menyesali tindakan “pihak-pihak tertentu” dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang telah mengugat potensi pakatan pembangkang menambahkan kerusi dalam pilihan raya akan datang sepanjang rundingan berlangsung.
Atas sebab itu, jelas Baru, MPN Sarawak percaya mereka perlu mengambil semula kawalan keatas halatuju mereka dalam PRN Sarawak ke-11. “Kita rakyat Sarawak dan kita harus lakukan apa yang terbaik untuk Sarawak.”
