Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Irwan Fahmi Ideris menyifatkan tindakan Pemuda MIC bagaikan sengaja mencetuskan kemarahan dan bermain sentimen agama.
Jelasnya, Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan agama, justeru Pemuda MIC perlu menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini serta Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara.
“Umum mengetahui Dr Zakir Naik merupakan seorang tokoh agama yang amat disenangi. Cara penyampaian ceramah dan menjawab soalan sangat dikagumi ramai.
“Saya nak tanya mereka, mengapa perlu menghalang Dr Zakir daripada memberi ceramah? Apakah disebabkan tajuknya, iaitu persamaan agama Hindu dan Islam?
“Saya ingatkan mereka sekali lagi, jangan cuba mencurah minyak di dalam api. Datanglah ceramah tersebut dan tanyalah sendiri kepada Dr Zakir sendiri, kalau betul tak puas hati. Jangan dah baling batu sembunyi tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau juga menasihatkan Pemuda MIC supaya memahami Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan undang-undang negeri serta persekutuan boleh digubal untuk mengawal atau menyekat pengembangan sebarang doktrin atau kepercayaan agama di kalangan umat Islam.
“Selepas mereka faham, mereka tidak akan mengambil mudah terhadap perkara melibatkan agama Islam. Islam itu mudah difahami. Malu bertanya sesat jalan. Kalau dah sesat, jangan mengambil mudah menyesatkan orang lain,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh berkata, sayap MIC itu bercadang membuat laporan polis di seluruh negara, bagi menghalang program penceramah kontroversi itu di negara ini, kerana khuatir dengan pengaruhnya terhadap penganut umat lain di Malaysia.
Menurutnya, mereka juga sedang mempertimbangkan langkah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang siri jelajah ceramah oleh penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 2013 itu.