Buktikan Zakir Naik hina agama lain – PAS

Buktikan Zakir Naik hina agama lain – PAS

PAS menyokong Zakir Naik dikenakan tindakan sekiranya penceramah antarabangsa itu terbukti menghina agama lain.

nasaruddin,zakir

PETALING JAYA:
PAS mendesak pihak-pihak yang yang menuduh penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik menghina agama lain supaya memberi bukti bukan sekadar menyerang ‘jarak jauh’.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya menyokong Zakir Naik diambil tindakan sekiranya terbukti beliau menghina agama lain.

“Saya mewakili PAS menegaskan kita tidak bersetuju malah menentang sebarang usaha penghinaan ke atas agama lain. Namun persoalannya, apakah Dr Zakir Naik menghina agama lain ? Jika benar, lampirkan bukti dan jika sabit kesalahan maka ambillah tindakan.

“Namun begitu, sangat keterlaluan jika pelbagai tuduhan, amaran dan kata nista dilemparkan kepada Dr Zakir Naik. Lebih malang apabila dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan demokrasi ini langsung tidak menghormati prinsip demokrasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nasrudin mencadangkan pihak yang tidak berpushati dengan Zakir Naik supaya berhenti menyerang penceramah tersebut, sebaliknya tampil memberanikan diri berhujan secara berdepan,sekaligus dapat menjawab kekeliruan yang berlaku.

“Beliau hanya datang ke Malaysia dengan membawa hujah, gigi dan lidah. Buktikan Dr Zakir Naik bersalah dan menghina agama lain. Ada bukti, maka kami setuju ia diambil tindakan. Jika tiada bukti, kenapa anda resah?,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyarankan Hindraf, MIC dan DAP menghantar wakil mereka ke ceramah-ceramah yang disampaikan Zakir Naik, sekiranya benar tuduhan mereka ceramah penceramah itu menghina agama lain.

Katanya, selepas menghadiri ceramah-ceramah yang disampaikan dan terbukti ada ungkapan menghina tuhan agama lain, PPP bersedia menyampaikan teguran kepada penceramah tersohor itu.

Kedatangan Zakir Naik ke negara ini ini mendapat bantahan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana didakwa pernah menghina agama lain.

Tokoh Maal Hijrah 2013 itu pernah dilarang masuk ke Singapura dan United Kingdom.

Zakir Naik dijadual mengadakan forum agama di beberapa tempat termasuk di Putrajaya pada 16 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.