CEO Rayani Air mohon maaf kepada penumpang

CEO Rayani Air mohon maaf kepada penumpang

Sokongan orang ramai diperlukan untuk memulihkan kembali Rayani Air.

ravi--rayani

PETALING JAYA :
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Penerbangan Rayani Air, Ravi Alagendran memohon maaf kepada penumpang-penumpang syarikat penerbangannya yang menghadapi kesulitan sejak beberapa minggu lalu.

Menerusi kenyataan hari ini, Ravi berkata, pihaknya amat berdukacita di atas kekurangan dan kelemahan perkhidmatan yang disediakan dan akan cuba untuk memperbaikinya sedikit masa lagi.

“Rayani Air sebuah syarikat penerbangan baru di negara ini. Banyak yang kami perlu perbaiki dan pelajari.

“Teruslah menyokong syarikat penerbangan kami. Semoga syarikat ini kekal relevan untuk semua lapisan masyarakat tidak mengira warna kulit dan terus terbang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Ravi turut mengucapkan penghargaan kepada orang ramai dan kakitangannya yang memberikan sokongan kepada syarikat penerbangan berkenaan.

Katanya, Rayani Air juga akan kembali pada masa akan datang dengan khidmat yang lebih cemerlang dan meminta orang ramai untuk menunggu kemunculannya.

Terdahalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengeluarkan surat penggantungan sementara kepada syarikat penerbangan Rayani Air, esok.

Menurutnya, Rayani Air tidak boleh menggantung operasinya sendiri seperti dilakukan semalam kerana semua perkara berkaitan operasi penerbangan adalah tertakluk di bawah DCA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.