Syarikat itu telah membeli tanah seluas 0.4 hektar daripada kerajaan negeri menerusi tender terbuka dengan harga RM11.6 juta pada 2012.
Menerusi temubual bersama akhbar Nanyang Siang Pau, Tang berkata, syarikatnya menghadapi banyak dugaan untuk membangunkan tanah itu dengan perancangan asal untuk membina sebuah hospital tetapi terpaksa disemak semula dengan turut memasukkan pembinaan hotel.
“Saya hanya mahu mendapatkan kembali modal. Jika kerajaan negeri boleh menjualnya semula dengan harga yang lebih tinggi, dengan apa cara sekalipun asal mendapat keuntungan. Saya sudah melabur RM20 juta untuk membangunkan Taman Manggis dan saya masih membayar faedah,” katanya.
Tang juga mengaku tanah itu masih milik KLIDC.
Beliau berkata, syarikat itu tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai rancangan untuk turut membina hotel dalam pelan pembangunan tanah itu kerana ia belum muktamad.
Penjualan tanah Taman Manggis timbul semula selepas ia didakwa ada kaitan dengan penjualan banglo kepada Lim Guan Eng dengan harga RM2.8 juta. Seperti tanah Taman Manggis, penjualan banglo itu juga dikatakan di bawah harga pasaran.
Tanah Taman Manggis menjadi kontroversi kerana Barisan Nasional (BN) mendakwa tanah itu sepatutnya dibina perumahan rakyat dan mendakwa kerajaan negeri menjual tanah itu di bawah harga semasa walaupun BN menawarkan harga lebih tinggi untuk membelinya.
SPRM sudah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan berhubung penjualan banglo dan kaitannya dengan Tanah Manggis.
