Pemandu berarak desak selesai kemelut teksi dan Uber-Grab

Pemandu berarak desak selesai kemelut teksi dan Uber-Grab

"Tidak mustahil ini akan dilakukan setiap minggu, dengan lokasi yang berbeza."

PERS1M

KUALA LUMPUR:
Ratusan teksi sekali lagi memenuhi jalan-jalan utama Kuala Lumpur petang tadi, sebagai meneruskan desakan terhadap kerajaan agar segera menyelesaikan kemelut teksi dan Uber-Grab.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain, protes kali ini menyaksikan pemandu berarak bermula dari KL Sentral ke Bukit Bintang melalui Jalan Tun Razak.

“Bermula sekitar 4 petang tadi, kami berarak perlahan-lahan dan berhenti sekejap, kemudian berarak semula.

“Kalau berdemonstrasi tanpa bawa kereta akan ditangkap. Jadi protes dibuat dengan cara ini pula, santai,” katanya ketika ditemui di Bukit Bintang.

Sekitar jam lapan malam tadi, para pemandu ‘berehat seketika’ selepas polis bersama beberapa trak mereka kelihatan berjaga di depan pusat membeli-belah Pavilion.

Beliau bagaimanapun memaklumkan tidak terlibat menganjur protes kali ini, sebaliknya berkata mesej tentang protes tersebar melalui Whatsapp.

“Pemandu teksi sudah terlalu marah. Bila dapat tahu tentang protes melalui Whatsapp, mereka terus sertai. Tidak mustahil ini akan dilakukan setiap minggu, dengan lokasi yang berbeza,” katanya lagi.

Katanya lagi, waktu petang Jumaat yang memang diketahui sebagai antara waktu paling sesak memang dipilih bagi ‘menarik keprihatinan kerajaan’ agar segera menyelesaikan kemelut ini.

“Jika kerajaan buat keputusan untuk terus membenarkan Uber dan Grab, kami sedia menyerahkan teksi kami dan bawa kereta sendiri,” katanya lagi.

PERS1M sebelum ini pernah mencadangkan agar diwujudkan kuota untuk bekas pemandu teksi dalam perkhidmatan Uber dan Grab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.