Pelajar gagal diberi diskaun 50% Pinjaman Pelajaran MARA

Pelajar gagal diberi diskaun 50% Pinjaman Pelajaran MARA

Annuar Musa berkata, tawaran itu diberikan untuk meringankan beban pelajar

Annuar Musa

KUALA LUMPUR:
Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran MARA yang gagal dalam pengajian mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tawaran itu diberi kepada pelajar yang gagal menamatkan pengajian atas apa jua sebab, termasuk mereka yang sedang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah berhubung pinjaman berkenaan.

“Jika sebelum ini pelajar yang gagal pengajian perlu membayar 100 peratus pinjaman mereka, tetapi untuk meringankan beban mereka, kita tawarkan 50 peratus diskaun terhadap baki pinjaman mereka,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Tambahnya, peminjam pada tahun 2010 dan sebelumnya yang lulus pengajian, tetapi tidak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik, telah ditawarkan diskaun 50 peratus ke atas baki pinjaman mereka pada 25 Mac lepas dan kini mendapat tambahan 20 peratus diskaun.

Turut diumumkan tambahan 20 peratus diskaun kepada peminjam yang layak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik dan telah memperoleh pengurangan bayaran balik.

“Sebagai contoh, sekiranya pelajar B mendapat tajaan pinjaman, katalah berjumlah RM200,000 serta lulus pengajian dan mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik, misalnya berjumlah 75 peratus diberikan atas baki pinjaman semasa dan kini diberi tambahan 20 peratus lagi, jadi peminjam hanya bayar RM40,000,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, semua tawaran berkenaan tertakhluk pada peminjam yang membuat bayaran sekali gus daripada baki pinjaman mereka.

Katanya permohonan mestilah dibuat secara dalam talian di portal MARA insentif50 dan dibuka sehingga 31 Dis tahun ini sahaja.

“Selepas tarikh itu, kadar pinjaman adalah seperti sebelum diskaun,” katanya.

Beliau berkata, MARA adalah agensi yang mendapat peruntukan daripada kerajaan dan tidak wajar disamakan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sememangnya meminjam dengan jaminan kerajaan untuk memberi pinjaman kepada pelajar.

“Tawaran ini pun bukan kita buat setiap tahun, tetapi sambutan 50 tahun MARA ini kita berikan, selain daripada mengurangkan beban pelajar, kita akan gunakan kutipan untuk beri pinjaman kepada lebih ramai pelajar dan pelaksanaan aktiviti bermanfaat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.