AMANAH hanya pesuruh DAP – Hadi

AMANAH hanya pesuruh DAP – Hadi

AMANAH bukan lawan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang ke-11, kata Presiden PAS itu.

hadi-awang_pas_amanah_600
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) bukan ancaman kepada PAS dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti berkenaan ditubuhkan oleh bekas anggota PAS yang disifatkan sebagai pesuruh DAP.

Menurut New Straits Times, Abdul Hadi dilaporkan mendakwa bahawa pengundi di Sarawak juga menyedari keadaan itu.

“Kita tidak melihat AMANAH memberi cabaran kepada PAS dalam pilihan raya yang akan datang. Kebanyakan orang dalam negeri itu terutama yang beragama Islam sedar AMANAH adalah pesuruh DAP,” katanya.

Akhbar harian bahasa Inggeris itu juga melaporkan bahawa Hadi tidak mempunyai perkataan lain bagi menggambarkan AMANAH.

Sebelum ini, PAS mengumumkan 11 calon bagi PRN-11 Sarawak. Antara calonnya ialah, penyanyi popular Iban, Clement Bayang, 59.

Beliau yang juga calon bukan Islam PAS pertama, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, keputusan PAS mengetengahkan calon bukan Islam dalam PRN-11 Sarawak mungkin tidak akan membantu parti itu.

“Strategi PAS mencalonkan calon bukan Islam tidak akan mengubah trend pengundi Sarawak. Mereka akan melihat parti calon dan bukan calon itu sendiri.

“Lagi pun, parti politik yang berpangkalan di Semenanjung seperti PAS dan pakatan pembangkang yang baharu dibentuk tiada tempat di Sarawak,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.