Menurutnya, walaupun tidak mempunyai dokumen yang dimiliki oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, beliau akan terus menggunakan maklumat mutakhir yang diperoleh dari pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Saya rela berdebat dengan menteri walaupun saya tidak mempunyai maklumat. Saya akan gunakan perkara mutakhir yang saya ada,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Guan Eng berkata, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu juga diberikan peluang untuk memilih tempat dan tarikh debat itu akan diadakan.
Manakala, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pula diberikan tanggungjawab oleh Guan Eng untuk menjadi pihak yang bertanggungjawab mengaturkan semua urusan debat itu bagi mewakili DAP.
“Saya tunggu masa dan tempat yang beliau cadangkan. Saya minta Anthony Loke aturkan semua aturcara perbahasan.
“Saya tidak kisah depan orang ramai, kami tidak ada apa-apa sembunyi kepada orang ramai. Kalau dia (Abdul Rahman) hendak buat di TV3 adalah lebih baik, silakan..” ujarnya.
Sebelum ini, Abdul Rahman mencabar Guan Eng untuk berdebat mengenai isu tanah Taman Manggis yang didakwanya sudah ditukar milik dan bukan lagi milik syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) kerana dijual kepada pihak ketiga.
Sementara itu, Guan Eng turut melahirkan kehairanan dan mempersoal tindakan Abdul Rahman yang didakwa memadam sesetengah maklumat dalam pendedahan yang dibuatnya itu.
“Kenapa padam nama, kenapa tidak mahu tunjukkan, adakah ini rahsia rasmi kerajaan juga. Kalau bongkar, bongkarkan habis-habislah. Saya tunggu Abdul Rahman Dahlan,” tegasnya.
