Najib tidak boleh dipertanggungjawabkan – Seng Giaw

Najib tidak boleh dipertanggungjawabkan – Seng Giaw

Naib Pengerusi PAC berkata pengurusan 1MDB yang perlu dipertanggungjawabkan diatas masalah yang melanda.

Tan Seng Giaw

KUALA LUMPUR:
Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tan Seng Giaw (Kepong-DAP) berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh dipertanggungjawabkan diatas skandal sekitar 1MDB.

Kenyataan itu bertentangan dengan pendirian rakan separti dan juga anggota PAC, Tony Pua (Petaling Jaya Utara-DAP), yang berkata Najib boleh dipersalahkan diatas salahlaku atau salahurus yang berlaku dalam syarikat itu.

Seng Giaw pula berpendapat pengurusan 1MDB yang perlu dipertanggungjawabkan untuk masalah yang berlaku dalam 1MDB.

“Tidak. Kita harus lihat secara keseluruhannya. Kita mendapati beliau (Najib) tidak terbabit secara langsung. Nama beliau hanya disebut kerana tersenarai sebagai ahli lembaga penasihat.

“Selepas itu, (namanya) tidak lagi disebut. Kebanyakannya, melibatkan pihak pengurusan. Maka, berdasarkan kepada kedaulatan undang-undang: kamu tidak boleh hukum selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ruang legar Parlimen hari ini.

Ditanya mengapa nama Najib disebut dalam laporan PAC berhubung dakwaan salahurus dalam 1MDB, Seng Giaw berkata namanya disebut lantaran Perdana Menteri merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

“Semasa siasatan dijalankan, Perdana Menteri tidak terbabit dalam perkara itu (pengurusan syarikat), tetapi dia adalah pengerusi lembaga penasihat.

“Mereka (pengurusan 1MDB) yang menguruskan. Maka orang-orang itulah yang perlu kita siasat. Itulah langkah yang sebetulnya.

“Maka, dari sudut perundangan, bagaimana mungkin kita ambil tindakan terhadap orang yang tidak melakukan apa-apa?

“Justeru, mari kita perhatikan mereka yang terbabit secara langsung. Apa yang betul dan apa yang salah? Ini langkah pertama yang perlu kita ambil.”

Pada pandangan beliau, adakah Najib kena-mengena dengan pengurusan 1MDB? Menjawab soalan itu, Seng Giaw berkata syarikat itu digerakkan oleh pihak pengurusan, bukannya Najib.

“Tidak. Kita tidak boleh kata itu (Perdana Menteri terbabit dengan 1MDB). Kita tidak boleh kata apapun (yang seperti itu).

“CEO yang gerakkan perniagaan itu, dipantau oleh ahli lembaga pengarah,” tambah Seng Giaw.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.