Merasakan penyiasatan itu benar-benar menyangkal tuduhan terhadapnya, Najib berkata laporan oleh jawatankuasa dwi-partisan itu jelas menunjukkan RM42 bilion ‘tidak hilang’ seperti yang diuar-uarkan.
“Beliau didorong oleh kepentingan peribadi, bukannya kepentingan negara, dan kemahuannya untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Menurut laporan PAC, RM42 bilion tersebut telah digunakan untuk pelaburan, iaitu RM15.375 bilion ke dalam Edra Energy, RM2.271 bilion bagi pelaburan hartanah dan RM24.22 bilion lagi bagi pelaburan 1MDB Group.
Mengulas kelemahan pengurusan dan struktur modal 1MDB yang dinyatakan dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, Najib berkata kerajaan akan mengkaji dan akan bertindak mengikut cadangan PAC.
“Kita perlu mengambil pelajaran, dan tindakan akan diambil jika ada bukti-bukti salahlaku ditemui. Kerajaan akan terus menumpukan perhatian terhadap pelan ekonomi dan pengukuhan ekonomi,” katanya lagi.
Menyingkap kembali turutan peristiwa siasatan keatas 1MDB, pentadbiran Najib telah mengarahkan Ketua Audit Negara melancarkan siasatan bebas terhadap kewangan 1MDB pada Mac 2015.
Bagi memastikan ketelusan siasatan itu, Najib mengarahkan penemuan Ketua Audit Negara dinilai PAC yang turut dianggotai ahli Parlimen pembangkang.
“Selepas proses yang menyeluruh, PAC hari ini membentangkan laporannya kepada Parlimen.
“Dapatan dalam laporan ini berdasarkan fakta dan penyiasatan dan penilaian selama ratusan jam,” katanya lagi, menyifatkan laporan tersebut sebagai “menyeluruh dan muktamad”.
