Ikan jerung di Sabah sedang pupus

Ikan jerung di Sabah sedang pupus

Pemintaan tinggi terhadap sirip jerung mendorong pengusaha memburu ikan itu secara ekstensif.

sm-mohamad
PETALING JAYA: Populasi ikan jerung di perairan Sabah didakwa sedang diancam kepupusan akibat pemburuan haiwan laut terbabit secara besar-besaran.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris, berkata pemintaan tinggi bagi mendapatkan bahagian badan termasuk sirip ikan itu mendorong pengusaha memburu jerung secara ekstensif di negeri itu.

Katanya, perkara itu membuktikan ikan jerung perlu dilindungi mengikut undang-undang, sama seperti hidupan liar lain di atas darat di negara ini.

“SAM mendesak pihak berkuasa termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya menyiasat perkara berkenaan.

“Pihak bertanggungjawab hendaklah dihukum mengikut undang-undang dan ikan jerung wajar dilindungi,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

SM Mohamed berkata, Malaysia adalah antara 15 negara di dunia yang paling banyak menangkap ikan jerung semata-mata bagi mendapatkan bahagian sirip ikan terbabit.

Katanya, kajian oleh agensi tinjauan Traffic, mendakwa sebanyak 231,212 tan ikan jerung ditangkap di antara tahun 2002 sehingga 2011.

“Jumlah berkenaan adalah sebanyak 2.9% daripada keseluruhan industri global dalam penangkapan ikan jerung, untuk tempoh yang sama,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.