Harga jualan tanah Taman Manggis rendah dipersoal – Gerakan

Harga jualan tanah Taman Manggis rendah dipersoal – Gerakan

Kerajaan negeri perlu jelaskan kenapa tanah Taman Manggis dijual begitu rendah dan perbezaannya lebih kurang RM700 dalam tempoh setahun

oh,taman-manggis

GEORGE TOWN:
Gerakan Pulau Pinang hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjual tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di sini pada harga yang didakwa sangat, kepada sebuah syarikat swasta.

Setiausaha Gerakan Negeri, Oh Tong Keong mendakwa pada 2010, sebuah tapak bangunan terbiar yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak projek perumahan rakyat (PPR) itu, dijual pada harga RM910 bagi satu kaki persegi.

Beliau mendakwa, bangunan yang terletak bertentangan dengan Taman Manggis itu dibeli oleh pemilik asal banglo Ketua Menteri Lim Guan Eng, Phang Li Koon.

“Phang membeli bangunan itu daripada sebuah syarikat korporat sebelum Taman Manggis dijual pada 2011, tapi tanah tapak Taman Manggis dijual pada harga serendah RM232 satu kaki persegi.

“Kerajaan negeri perlu jelaskan kenapa tanah Taman Manggis dijual begitu rendah dan perbezaannya lebih kurang RM700 dalam tempoh setahun,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Oh berkata, pihaknya juga mahu kerajaan negeri mendedahkan dokumen tender terbuka bagi tanah Taman Manggis agar rakyat dapat menilai sama ada penjualan tanah itu dilakukan secara telus atau sebaliknya.

Isu tanah Taman Manggis timbul apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membawanya kepada pengetahuan Dewan Rakyat dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya diperuntukkan bagi PPR.

Sementara itu, Lim dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) berkata beliau amat dukacita dan kesal apabila jemputan untuk bersemuka dengan Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pagi ini, sekali lagi tidak dilayan.

Beliau berkata, Shabudin sepatutnya hadir dalam pertemuan itu bagi membincangkan mengenai tanah milik PERDA yang didakwa dijual bawah harga pasaran sehingga menyebabkan agensi berkenaan kerugian RM15.2 juta.

“Sekiranya ini adalah tanah peribadinya, saya rasa saya tak ada minat. Ini adalah tanah awam, milikan PERDA yang dimiliki oleh rakyat. Beliau sepatutnya datang (menjelaskan) sesuatu yang tidak kena dengan penjualan tanah seluas 3.4 hektar ini.

Semalam, Lim sekali lagi mengundang Shabudin untuk bersemuka bagi menjelaskanisu penjualan tanah itu termasuk cadangan pembinaan 27 lot rumah kedai oleh pemaju di atas tanah berkenaan.

Jumaat lepas, Shabudin dalam sidang akhbar berkata PERDA menjual tanah itu pada harga RM1.42 juta dengan meletakkan syarat kepada pemaju membangunkan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik berharga antara RM42,000 dan RM72,000.

Lim sebelum ini berkata, mengikut penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), nilai keseluruhan tanah itu adalah RM16.6 juta.

Ditanya sama ada beliau akan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, Lim berkata beliau akan memberi peluang kepada Shabudin untuk memberi penjelasan.

-Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.