Kerusi Parlimen Kota Melaka masih milik DAP

Kerusi Parlimen Kota Melaka masih milik DAP

Masih ahli selagi tidak dipecat atau meninggalkan parti, kata Anthony

Loke-Siew-Fook_sim-tong-him_dap_600

KUALA LUMPUR:
DAP hari ini mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him masih mewakili parti itu di Parlimen.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan Tong hanya digantung keahlian selama 12 bulan berkuatkuasa 6 Feb lalu oleh jawatankuasa displin parti, dan bukannya dipecat.

Malah, Anthony mengingatkan:

“Semua wakil rakyat DAP mesti berpegang kepada prinsip bahawa mereka memenangi kerusi masing-masing di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri atas tiket DAP.

Selagi seseorang ahli tersebut tidak dipecat atau tidak meninggalkan parti, kerusi berkenaan masih disandang kerusi milik DAP,” katanya semasa sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.

Anthony turut menepis kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Othman Muhamad yang mengumumkan bahawa seorang wakil rakyat DAP, Goh Leong San, kini ADUN Bebas.

Anthony menjelaskan kerusi DUN Duyong masih milik DAP kerana keahlian Leong San hanya digantung dan bukannya dipecat.

“Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, untuk mengumumkan ADUN Duyong, Goh Leong San sebagai ADUN Bebas ialah satu keputusan yang salah.

“Surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung DAP kepada Speaker DUN Melaka hanya memaklumkan keputusan parti untuk melantik ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong sebagai Ketua Pembangkang DUN Melaka menggantikan Goh dan ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew sebagai Ketua Whip di DUN Melaka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.