Berdasarkan kepada unjuran hasil kajian antarabangsa, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata empat kawasan pantai yang dijangka terkesan dengan kenaikan paras laut tertinggi ialah pantai Kedah (0.52 meter); Kelantan (0.47 meter); Miri, Sarawak (0.59 meter) dan Tawau, Sabah (1.06 meter).
“Kajian saintifik antarabangsa yang dibuat pada tahun 2010 itu mendapati beberapa kawasan pesisir pantai Semenanjung Malaysia akan mengalami kenaikan aras laut menjelang tahun 2100.
“Bagaimanapun kajian Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) menunjukkan bahawa peningkatan aras laut di bandar-bandar utama pesisir pantai Malaysia pada tahun 2020 tidak begitu ketara,” katanya di Dewan Rakyat, lapor Bernama.
Beliau menjawab soalan Datuk Ikmal Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang meminta kementerian menjelaskan berhubung spekulasi tersebut dan persediaan kementerian sekiranya kajian tersebut benar.
Ekoran itu, kementerian mengambil pelbagai langkah menghadapi cabaran berkenaan antaranya dengan menyediakan perlindungan kawasan pantai melalui langkah struktur dengan membina benteng hakisan dan tembok penahan ombak.
“Langkah tanpa struktur pula adalah seperti tanaman semula bakau, penambakan pasir pantai, memberi khidmat nasihat kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan pemaju berkaitan dan anjakan pembangunan masa depan menjauhi garis pantai,” katanya.