
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, bahawa beliau memberitahunya yang wang itu tidak dipindahkan ke BSI Bank di Singapura, seperti yang didakwa.
“Saya tidak pernah mengadakan pertemuan (dengan Muhyiddin) khusus untuk membincangkan soal itu.
“Saya juga tiada bawa apa-apa dokumen tentang perkara itu kepada beliau,” katanya dalam sidang media Laporan Tahunan dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran Bank Negara 2015, di sini, hari ini.
Namun, katanya, beliau memang banyak berurusan dengan Muhyiddin ketika beliau masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan antaranya ialah ketika dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kos Sara Hidup.
“Daripada segi itu, jika saya ada berbincang (perkara ini) dengannya, ia secara meluas tentang apa yang berlaku. Ia sudah lama. Dan mungkin ketika itu pun saya tiada maklumat berkaitan apa yang anda (wartawan) sebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zeti bertegas tidak akan sesekali membenarkan BNM terheret dalam politik berhubung isu 1MDB.
“Saya tidak akan terheret untuk buat kenyataan politik dan benarkan BNM terheret dalam politik isu ini. Saya hanya mahu menegakkan peraturan dalam sistem kewangan,” katanya lagi.