Sebaliknya, dia bangga kerana dapat menjual banglo itu kepada Guan Eng yang disifatkannya sebagai pemimpin yang telah berjaya membangunkan Pulau Pinang.
Malah, Li Koon berkata, Guan dan keluarganya menjadi penyewa yang baik sepanjang enam tahun mendiami banglo itu.
“Saya telah menjual rumah saya kepada orang yang saya hormati. Saya tidak menyesal menjual rumah saya kepada Ketua Menteri dengan harga RM2.8 juta,” katanya menerusi Akuan Sumpah.
Akuan Bersumpah itu dibacakan oleh EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh di KOMTAR, Georgetown, hari ini.
Li Koon bagaimanapun tidak hadir.
Li Koon menjelaskan, dengan penjualan banglo itu, dia telah membebaskan dirinya daripada masalah dan tekanan yang tidak diperlukan.
“Menyewakan rumah kepada mereka (Guan Eng dan keluarga) telah menyebabkan saya rasa tertekan berikutan tindakan BN dan NGO-NGO yang menuduh saya dengan cerita-cerita palsu.
“Pada masa itu saya membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut. Ada lagi kejadian-kejadian lain pada tahun-tahun seterusnya, daripada demonstrasi dan upacara pengebumian di depan rumah, kepada bom botol molotov cocktail yang dibaling ke dalam kawasan rumah itu yang menyebabkan keadaan rumah terdedah dan tidak selamat.
“Berita-berita disiarkan tanpa henti tentang rumah tersebut dengan menyiarkan alamat dan gambarnya sekali di dalam akhbar-akhbar. Saya merasa sangat tidak selesa, kerana jika suatu hari nanti saya atau mana-mana ahli keluarga dan sanak-saudara mahu menetap di sana pada masa depan, saya tidak akan merasa selamat dan terjamin untuk tinggal di sebuah rumah yang amat terdedah serta terlalu diketahui umum, ” akui Li Koon.
Dalam akuan sumpah itu, Li Koon mengaku tidak terbabit langsung dalam skandal Taman Manggis, seperti yang dibangkitkan dalam serangan terhadap Guan Eng.
Sebelum ini, Li Koon dikaitkan dengan Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) yang mendapat tanah di Taman Manggis. Kerajaan Pulau Pinang menjelaskan syarikat itu mendapat tanah tersebut menerusi tender terbuka.
Tanah itu akan dibangunkan sebuah hospital, hotel dan tempat meletak kenderaan.
Terdapat dakwaan bahawa tanah di Taman Manggis itu sepatutnya dibangunkan untuk projek rumah rakyat fasa kedua.
Pemimpin UMNO khuatir pembelian banglo itu ada kaitan dengan skandal Taman Manggis.
