Li Koon dalam Akuan Bersumpahnya bertarikh hari ini berkata, beliau adalah kawan karib kepada isteri Guan Eng, Betty Chew sejak 2008.
Memetik laporan Berita Harian Online, Li Koon berkata, beliau membuat keputusan menjual rumah yang dibelinya pada 2008 kerana ia menimbulkan pelbagai publisiti dan tuduhan dari semasa ke semasa.
“Saya tidak menyelidik pasaran apabila saya membuat keputusan untuk menjualnya kepada Ketua Menteri pada 2015 kerana saya rasa tidak perlu berbuat demikian.
“Saya sudah mempunyai Ketua Menteri sebagai pembeli dan sudah ada satu persetujuan kepada perjanjian berhubung harga jualan RM2.8 juta yang dipersetujui pada 23 Jun 2014,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu.
Akuan Bersumpah Li Koon dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh di KOMTAR, Bagaimanapun, Li Koon bagaimanapun tidak hadir.
Kontroversi pembelian banglo di bawah harga pasaran itu ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di Parlimen minggu lalu.
Guan Eng menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menegaskan pembelian itu dibuat secara sukarela dengan pemilik asal banglo berkenaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menerusi kenyataan media berkata, kertas siasatan akan dibuka dan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 kerana suapan.
