Dalam satu kenyataan yang diterima FMT, SPRM berkata pihaknya telah merakam keterangan pengadu berhubung isu itu.
“SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkaitan pembelian rumah ini merupakan pendedahan baharu dan SPRM tidak pernah membuka fail sebelum ini.
“Siasatan SPRM sebelum ini hanya berkaitan penyewaan rumah berkenaan dan bukan pembelian,” menurut kenyataan itu.
Isu pembelian rumah ini berbangkit selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di Parlimen baru-baru ini melahirkan rasa khuatir pembelian rumah itu berkait dengan penjualan tanah di Taman Manggis yang dimaksudkan untuk projek rumah kos rendah.
Hari ini, FMT memuatnaik kenyataan penuh Lim Guan Eng yang menafikan sebarang salahlaku di pihaknya.
Guan Eng mendedahkan bahawa beliau membeli rumah dua tingkat di Jalan Pinhorn, pada 28 Julai 2015 daripada seorang individu, dan bukan pemaju swasta. Pembelian dibuat dengan pinjaman bank RM2.1 juta, dan RM700,000 tunai.
Guan Eng turut menafikan kaitan antara pembelian rumah dan penjualan tanah Taman Manggis. Katanya, penuduh sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bagan, Shaikh Hussein Mydin terpaksa menarik balik kenyataan dan meminta maaf kepada beliau sebanyak dua kali di dalam kamar mahkamah selepas disaman kerana memfitnah.
Shaikh bagaimanapun menafikan pernah menarik balik kenyataan behubung isu Taman Manggis.
“Saya langsung tidak menarik balik perkara-perkara penyelewengan yang telah saya bangkitkan dahulu terhadap proses tender, penilaian tanah, penilaian tender, perolehan tender, penglibatan pihak berkepentingan dalam Skandal Taman Manggis,” jawab Shaikh.