Guan Eng didakwa seperti Khir Toyo, dapat rumah harga murah tak logik

Guan Eng didakwa seperti Khir Toyo, dapat rumah harga murah tak logik

Anggota Parlimen Tasek Gelugor mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang membeli rumah pada harga murah berbanding harga pasaran semasa.

rumah-lim-guang-eng-3

KUALA LUMPUR:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa memperoleh rumah yang didiaminya lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Dakwaan itu dibuat oleh Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) dan disokong oleh Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Shabudin, rumah yang pernah disewa oleh Guan Eng di bahagian pulau di negeri berkenaan berharga RM2.5 juta pada tahun 2008.

Katanya, rumah terbabit sudah diubahsuai dengan kos yang menelan belanja ratusan ribu ringgit, namun dijual dengan harga RM2.8 juta kepada Guan Eng, tahun lalu.

“Harga ini tidak realistik dibandingkan dengan nilai hartanah semasa,” katanya.

Shabudin berkata, rumah itu dibeli daripada pemilik asalnya yang dikatakan ada hubungan dengan syarikat swasta yang membeli tanah di Taman Manggis, George Town pada tahun 2012.

Sehubungan itu, Shabudin meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat perkara berkenaan.

Tuduhan Shabudin itu mendapat reaksi daripada anggota Parlimen pembangkang yang mendesak perkara itu dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, bukan Parlimen.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed menolak permintaan pembangkang dengan memberi alasan beliau membenarkan tuduhan dilempar terhadap Perdana Menteri di Parlimen.

Sementara itu, Noh menyifatkan ia kes sama seperti yang dilakukan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo pada tahun 2007.

Katanya, perkara sama pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh anggota Parlimen pembangkang ketika isu berkenaan heboh diperkatakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.