Selepas 30 tahun, PNB terus angkat Bumiputera

Selepas 30 tahun, PNB terus angkat Bumiputera

Atas semangat perpaduan, PNB juga meluaskan unit amanahnya kepada seluruh warga Malaysia, kata Perdana Menteri.

Perbadanan Nasional Berhad (PNB)

KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memuji kejayaan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang berjaya memainkan peranan mengangkat golongan Bumiputera dalam sektor korporat.

Berucap di majlis pelancaran projek Warisan Merdeka oleh PNB hari ini, Najib menyifatkan pencapaian PNB memberi makna besar kepada negara dan rakyat.

“Esok genaplah 30 tahun penubuhan PNB. Ia kini melabur dalam 200 syarikat pelaburan dalam pelbagai bidang ekonomi. Ia memberi peluang kepada profesional Bumiputera untuk mengurus syarikat strategik negara.

“Dengan strategi kepelbagaian PNB, ia telah berjaya mengimbangi risiko pelaburan, justeru membolehkannya membayar agihan pendapatan dan bonus pada kadar kompetetif sepanjang 30 tahun, walaupun ketika keadaan mencabar,” katanya lagi.

Atas semangat perpaduan, katanya lagi, PNB juga meluaskan unit amanahnya kepada masyarakat bukan Bumiputera, dan sehingga kini mengumpul lebih 200 bilion unit amanah daripada seluruh warga Malaysia.

Projek Warisan Merdeka yang dilancarkan hari ini merupakan projek pembangunan 3 fasa menara 118 tingkat di tapak Taman Warisan Negara dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Menara berketinggian 630 meter itu bakal menjadi bangunan kelima tertinggi di dunia dan kedua tertinggi di Asia, selepas Menara Shanghai.

Najib menyifatkan projek itu sebagai kemuncak kejayaan PNB dalam bidang hartanah.

“Seperti yang dinyatakan (Pengerusi PNB) Tun Ahmad Sarji, projek ini bakal menjadi salah satu simbol kebanggaan dan manifestasi kejayaan Malaysia selaku negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Sarji memaklumkan projek tersebut dijangka akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan, dan memacu kesan ganda (multiplier effects) ekonomi bernilai kira-kita RM11 bilion.

Turut hadir di majlis pelancaram itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wahid Omar, Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Ali Hamsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.