Saya tak boleh jadi macam Lim Kit Siang, kata Shahrir Samad

Saya tak boleh jadi macam Lim Kit Siang, kata Shahrir Samad

Anggota Parlimen Johor Bahru mahu bersara selepas membabitkan diri dalam dunia politik tanah air selama 40 tahun.

kit-siang-Shahrir-smile-malaysia

KUALA LUMPUR:
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad merancang untuk bersara daripada karier politik yang diceburinya selama 40 tahun.

Shahrir yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru berkata, beliau berharap untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, beliau merasakan muka baharu dalam politik harus diberi laluan menerajui kepemimpinan negara.

“Kita mesti percaya kepada orang muda. Saya tak boleh jadi macam Lim Kit Siang, terus berada dalam politik. Saya juga tidak boleh serah jawatan kepada anak-anak.

“Saya ada rekod yang bekas setiausaha akhbar saya kini Menteri Besar Johor, (Datuk Seri Mohd Khaled Nordin) dan ia peluang untuk orang muda ambil alih,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ketika ditanya mengenai calon untuk menggantikan beliau, Shahrir berkata: “Kita ada banyak calon.”

Karier politik Shahrir bermula pada tahun 1973 apabila dilantik menjadi setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Pada tahun 1975, beliau dilantik menjadi setiausaha politik kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein sehingga Tun Abdul Razak meninggal dunia pada tahun 1976.

Pada tahun 1978, beliau bertanding dan menang kerusi Parlimen Johor Bahru. Pada tahun 1983 hingga 1986, Shahrir menjadi setiausaha politik kepada Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

Beliau pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.