PMSP mahu derma RM60,000 kepada balu PI Bala

PMSP mahu derma RM60,000 kepada balu PI Bala

Derma itu akan dikutip daripada 320,000 individu yang menandatangani sokongan kepada pertubuhan itu untuk membantu kaum India.

Zakwan-Hafiz-Ahmad-Ansari_bala_6_100

PETALING JAYA:
Persatuan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM60,000 kepada A Santamil Selvi, balu bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Timbalan Presiden PMSP, Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata, derma itu akan dikutip daripada 320,000 individu yang telah menandatangani sokongan kepada pertubuhan itu untuk membantu kaum India.

“Kami mahu memberi bantuan kepada Selvi kerana PMSP memang sebelum ini telah membantu kaum India yang memerlukan bantuan.

“Apabila Selvi meminta bantuan, kami rasa kami boleh bantu. Masa ini kutipan untuk memberi bantuan kepada dia masih sedang dijalankan dan kami akan umum pada Selasa atau Rabu hadapan jumlah kutipan itu,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Pada masa sama, Zakwan turut menafikan bahawa Barisan Nasional (BN) memberikan dana kepada PMSP untuk membantu Selvi.

“Kita ingin tegaskan, BN tidak menaja kami atau Selvi untuk memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib, dan isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Kami sendiri yang meminta bantuan daripada 320,000 individu yang telah menandatangani dalam menyokong usaha kami menuntut 4 perkara bagi membantu kaum India sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal pro-pembangkang mendakwa Selvi dibayar RM50,000 untuk membuat sidang media bagi memohon maaf kepada Najib dan Rosmah.

Mengulas laporan itu, Zakwan berkata, kesemua isi kandungan dan tajuk beritanya mengelirukan dan tidak benar.

“Ini mencetuskan tuduhan yang tidak baik dan hasutan bagi tujan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kami yang merupakan NGO pro-kerajaan. Ini termasuklah bagi tujuan untuk menjatuhkan nama baik dan imej Najib,” katanya.

Sabtu lalu, Selvi mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor kerana menuduhnya membunuh suaminya pada 2013.

Selvi membuat permohonan maaf itu di pejabat Presiden PMSP, Ramesh Rao, sambil mengakui telah melakukan kesilapan itu kerana tertekan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.