Beliau bersetuju dengan kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong bahawa ‘jalur ketiga’ tiada ruang dalam PRU-14 kerana ia bakal menyaksikan pertembungan antara pihak pro-Najib dengan anti-Najib.
“Saya setuju (dengan kenyataan Chin Tong), PRU-14 adalah persimpangan antara agenda untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO-Barisan Nasional (BN).
“Jika gerakan pembangkang, iaitu Pakatan Harapan serta penyokong Deklarasi Rakyat dapat satukan semua pihak yang mempunyai keinginan sama, serta dapat meyakinkan rakyat, suara jalur ketiga akan menjadi suara pinggiran sahaja,” katanya ketika dihubungi FMT, di sini, semalam.
Dalam sidang media kelmarin, Chin Tong yang merupakan Ahli Parlimen Kluang dilapor berkata, PAS tidak akan menjadi faktor utama dalam PRU-14.
Mengulas lanjut, pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, PAS akan berhadapan cabaran besar untuk mendapat sokongan rakyat, apatah lagi jika ia bergabung dengan parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kecil.
“Ini kerana pihak yang jelas melawan UMNO-BN akan lebih mendapat perhatian rakyat, kerana matlamat mereka adalah untuk menumbangkan Najib dan UMNO-BN pada PRU akan datang,” katanya lagi.
