Najib guna kejayaan ayah tarik sokongan warga Felda

Najib guna kejayaan ayah tarik sokongan warga Felda

Persatuan anak peneroka bersyukur pada Tun Razak, bukan pada Najib kerana mereka ibarat langit dan bumi

Mazlan Aliman

PETALING JAYA:
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berasa kesal dengan sikap Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Razak menggunakan nama ayahnya, Tun Abdul Razak untuk menarik sokongan warga Felda.

Walhal hakikatnya, kepimpinan UMNO hari ini menghancurkan sumbangan dan kejayaan negarawan itu, kata Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman.

Malah, beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH berkata kepimpinan Tun Abdul Razak dan Najib ibarat langit dan bumi.

“Memang betul zaman Tun Abdul Razak memberi tanah dan rumah menepati kehendak rakyat tidak dinafikan. Tetapi diingatkan kemelut berlaku terhadap Felda masa ini amat mengecewakan.

“Yang jahanamkan Felda adalah zaman dia (Najib). Pemimpin UMNO kini sedang menghancurkan Felda dan bagaimana warga Felda mahu membanggakan nama dia,” kata Mazlan.

Beliau berkata demikian menjawab peringatan Najib bahawa UMNO yang menubuhkan dan membangunkan Felda, dan akan terus membela nasib warga Felda merentasi generasi sehingga 100 tahun atau lebih daripada itu.

Semasa berucap melancarkan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) di ibu negara semalam, Najib mahu mengingatkan warga Felda kepada jasa ayahnya.

“Ingat apa yang Allahyarham Tun Razak sebut ‘land for the landless’. Mereka yang tak ada tanah kita berikan tanah 10 ekar (4 hektar).

“Sehingga kini bukan sahaja dapat tanah, malah dapat rumah, sekolah, masjid dan peluang generasi kedua untuk mendapat pinjaman rumah,” kata Najib.

Mazlan bagaimanapun menepis retorik itu, dan menyorot perhatian FMT kepada kemerosotan pendapatan peneroka Felda.

“Tidak ada kebaikan kita perolehi daripada Najib. Sejauh mana legasi ayah dia (Tun Abdul Razak) dapat dipertahankan. Adakah Felda boleh dipertahankan 10 tahun akan datang?,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.