PKR tiada masalah dengan blok pembangkang PAS – Azmin

PKR tiada masalah dengan blok pembangkang PAS – Azmin

Ia akan memberikan rakyat banyak pilihan untuk membuat perubahan terhadap negara apabila adanya blok pembangkang.

Azmin
KUALA LUMPUR: PKR tidak mempunyai masalah dengan keputusan PAS untuk menubuhkan blok pembangkang, Kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya,apa yang penting adalah gerakan reformasi dalam negara untuk menjatuhkan musuh utama iaitu UMNO – Barisan Nasional ( BN) sama ada secara individu atau gabungan.

“Saya kisah, kisah saya adalah UMNO mesti dijatuhkan. Itu cadangan (PAS) takpelah yang penting matlamat kita untuk lakukan reformasi dalam sistem kenegaraan hari ini,” katanya kepada pemberita di Lobi Perlimen hari ini.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, dengan adanya blok pembangkang di bawah PAS, ia akan memberikan rakyat banyak pilihan untuk membuat perubahan terhadap negara.

Jelasnya, Pakatan Harapan dan blok pembangkang yang baru itu nanti akan membuat perbincangan secara menyeluruh terutama fokus terhadap isu kemungkinan akan berlakunya perpecahan undi menjelang pilihan raya akan datang yang hanya akan mengurangkan peluang mengalahkan BN.

“Ini satu strategi, politik satu strategi. Jangan tolak perbincangan, itu juga satu proses demokrasi.

“Akan ada cadangan dan ada bantahan tapi anda mesti benarkan proses berjalan dan akhirnya kita bekerja berdasarkan konsensus dan dapatkan mandat rakyat. Itulah demokrasi terbaik yang patut kita pertahankan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilapor berkata, Parti Islam itu akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baru yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan NGO pada 16 Mac ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Azmin berkata, PKR tetap dengan pendiriannya untuk memastikan setiap kerusi yang dipertandingkan pembangkang adalah satu lawan satu dan ruang untuk berbincang bagi mengelak perkara itu masih lagi terbuka.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.