Memalukan kampung sebelah Putrajaya tiada elektrik dan air

Memalukan kampung sebelah Putrajaya tiada elektrik dan air

Ikuti siri keempat pendedahan kampung Orang Asli terletak di sempadan Putrajaya yang langsung tiada bekalan air bersih dan elektrik.

Orang-Asli-Putrajaya
BANGI: Keciciran masyarakat Orang Asli yang mendiami empat perkampungan bersempadanan dengan Putrajaya perlu ditangani segera.

Rata-rata Orang Asli yang di perkampungan terbabit hidup dalam keadaan daif tanpa bekalan elektrik dan air bersih.

Bagaimanapun, beberapa kilometer dari rumah mereka iaitu di Putrajaya wujud kawasan kejiranan serba moden dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Ia sekali gus membuktikan bahawa jurang sosio ekonomi dan perancangan bandar yang terlalu jauh dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Selain itu, ia juga menimbulkan persoalan akan kecekapan kerajaan dalam mengagihkan sumber negara untuk dinikmati secara saksama oleh rakyat Malaysia.

Aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Azlan Mohd Sharif, berkata perkara itu sama sekali tidak wajar berlaku dan disifatkan amat memalukan.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atau berpolitik, namun keadaan Orang Asli yang tinggal sebelah Putrajaya tetapi langsung tidak ada kemudahan asas memang tak boleh diterima.

“Bayangkan rumah sangat dekat, malah boleh dikatakan bersebelahan dengan Putrajaya tetapi tidak pernah mendapat akses elektrik dan air bersih,” katanya kepada FMT di sini, semalam.

Azlan berkata, perkampungan itu terletak di Selangor dan bersempadanan dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya, yang mana kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat diperlukan bagi mengatasi masalah itu.

“Saya rayu agensi negeri dan Persekutuan supaya ketepikan perbezaan politik dan tolonglah bela nasib Orang Asli ini,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.