Ia bertujuan bagi menyahut gesaan rakyat untuk menolak langkah tidak demokrasi bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rakyat hanya merestui pilihan raya sebagai penyelesaian, bukannya menjatuhkan Najib dengan cara yang tidak demokratik.
“Kita mahu pilihan raya. Kita tidak mahu jatuhkan PM (Perdana Menteri) dengan cara yang tidak demokratik. Tetapi, kalau PM mahu letak jawatan, baguslah.
“Kalau kerajaan berani, buatlah pilihan raya lebih cepat kerana itu yang rakyat mahukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen Ketiga belas, di bangunan Parlimen, hari ini.
Tambahnya, rakyat secara umum mahu kerajaan di ubah, namun, kerana prinsip demokrasi yang diamalkan, PAS memilih pilihan raya.
“Kita tahu pihak kerajaan yakin mereka telah diberi mandat. Keadaan ini mengelirukan, pihak kerajaan kata ada mandat dan sebelah pihak mandat sudah tidak dilaksanakan lagi.
“Saranan kita adil, adakan pilihan raya lebih cepat, kerana rakyat berhak menuntutnya,” ujarnya.
Kata Nik Abduh, beliau secara peribadi tidak akan menandatangani `Deklarasi Rakyat’ dan PAS juga telah menyatakan pendirian tidak akan bersama.
“Kita telah membuat keputusan dan PAS tetap dengan pendirian bahawa perubahan hendaklah melalui rakyat. Oleh yang demikian, kita berharap agar kerajaan lebih bertanggungjawab,” ujarnya.
Malah, Nik Abduh menjelaskan, UMNO tidak lagi mewakili rakyat dan PAS juga tidak mahu parti Melayu itu.
“Kita tidak mahu UMNO, kita sebuah parti yang membawa inspirasi rakyat dan kehendak rakyat dan UMNO tidak mewakili rakyat, bagi kami pembangkang,” katanya.