“Kami hilang kepercayaan kepada Najib ” – Pemimpin muda

“Kami hilang kepercayaan kepada Najib ” – Pemimpin muda

Salah urus tadbir dalam mengendalikan krisis 1MDB telah mengatasi kes-kes lain sekaligus satu serangan ke atas pemerintahan negara.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PETALING JAYA:
Pemimpin muda negara sebulat suara menyatakan tidak lagi yakin dan percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia disuarakan melalui kenyataan yang ditandatangani oleh 25 pemimpin pelajar dan aktivis yang diketuai Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kami, pemimpin muda Malaysia sudah hilang kepercayaan terhadap Najib dan anggotanya (Kabinet), ia ekoran tindakan mereka yang telah menyalahgunakan dan mengorbankan masa depan Malaysia.

“Masa depan belia akan diwarisi dari pimpinan hari ini. Kami tidak lagi akan diam diri sedangkan masa depan kami dirampas,” kata kumpulan berkenaan.

Menegaskan bahawa cinta ‘tanpa batasan’ untuk negara, kumpulan pemimpin muda itu menyatakan sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk bersuara apabila melihat negara berbelah bahagi.

Kumpulan tersebut juga menyatakan salah urus tadbir dalam mengendalikan krisis 1MDB telah mengatasi kes-kes lain sekaligus satu serangan ke atas pemerintahan negara.

Selain itu, kumpulan tersebut turut melihat tindakan UMNO yang berkompromi dan menghukum sesiapa sahaja termasuk ahli dalam parti sendiri yang menzahirkan kebimbangan rakyat, sebagai tindakan untuk menyembunyikan perkara sebenar.

“Nama negara tercinta ini telah tersebar di serata dunia kerana krisis ini. Hong Kong, Switzerland, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah menzahirkan kebimbangan terhadap perkara ini,” kata kumpulan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.