Dia, mendakwa hanya diberitahu mengenai dua adiknya, K Rishikumar, 31 dan K Khrishnamurthy, 23, direman polis dua bulan selepas ditangkap.
“Patut polis beritahu. Mereka tak tahu sakit hati kita macam mana,” katanya sambil menangis teresak-esak.
Disebabkan kedua-dua ibu bapa sudah tiada, katanya , mereka semua berdikari dan tidak pelik jika adik-adiknya tidak menghubunginya selama dua bulan.
“Saya ingat mereka bekerja, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada IPD Seremban memberitahu tentang hal itu,” ujarnya.
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini bersama-sama keluarga enam tahanan membuat laporan polis berhubung dakwaan direman lebih 70 hari di 14 balai polis, bermula 11 Disember 2015.
Suaram juga mendakwa mereka diseksa di lokap sepanjang tempoh itu.
Dalam pada itu, peguam Sashi Devan berharap keenam-enam individu terbabit akan dibebaskan malam ini, selepas Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menolak permohonan lanjutan reman oleh polis.
“Walaupun ada kemungkinan ditahan semula, saya berharap mereka akan dibebaskan dan perkara seperti ini tidak berulang.
“Penahanan ini menyalahi proses dan prosedur polis sejak dari mula. Kalau mereka buat jenayah, dakwa mereka,” katanya lagi.
