Tabung Haji berisiko rugi RM1.4b – Rafizi

Tabung Haji berisiko rugi RM1.4b – Rafizi

Pelaburan dalam Ramunia Holdings atau Tabung Haji Heavy Engineering gagal meraih keuntungan.

rafizi,th

PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa Lembaga Tabung Haji (TH) berisiko rugi sebanyak RM1.4 bilion menerusi pelaburannya dalam Ramunia Holdings.

Rafizi berkata, TH berjaya menguasai 29.68% pegangan Ramunia dengan urusan pembelian saham berjumlah RM250 juta, antara Julai 2008 hingga Feb 2009.

“Pembelian itu menjadikan TH pemegang saham terbesar dalam Ramunia dan harga saham ketika pembelian itu puratanya ialah RM1.50 sesaham.

“Bagaimanapun, Ramunia berhadapan masalah kerugian sebanyak RM21 juta pada tahun 2008 dan rugi RM383 juta pada tahun 2009.

“Kerugian itu menyebabkan Ramunia berhadapan risiko muflis sehingga digantung daripada Bursa Malaysia, sekali gus menyaksikan harga saham turun kepada RM0.205 pada tahun 2010,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Rafizi berkata, TH bertindak mengambil alih Ramunia sepenuhnya dan menamakannya semula sebagai Tabung Haji Heavy Engineering (THHE), namun gagal meraih keuntungan.

“Ketua pegawai eksekutif lantikan TH meletakkan jawatan pada tahun 2014 selepas gagal membaiki prestasi kewangan THHE dan kini harga saham adalah RM0.145 sesaham, menjadikan jumlah kerugian berdasarkan kiraan sebanyak RM202 juta,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, situasi TH menyebabkan pendeposit boleh terus hilang keyakinan terhadap badan yang menguruskan jemaah haji Malaysia.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.