
Portal pro-UMNO MYKMU berkata demikian dalam satu makalah hari ini, membidas Azmin yang “menyinga” Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana menggugurkan wakil rakyat Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan wakil rakyat Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.
Mereka digugurkan selepas berkecuali dalam pengundian usul tebus guna tanah beberapa bulan lalu.
“Jadi saranan penulis kepada Azmin, beliau sewajarnya ‘mengadu’ kepada ‘abang besar’nya yang menghuni sel di penjara Sungai Buloh. Mungkin Ketua Umum PKR itu boleh mengutus surat dari penjara untuk mendesak Guan Eng ‘memberi muka’ kepada beliau.
“Walau pun berstatus ‘banduan’, penulis yakin Guan Eng perlu ‘beri muka’ kepada Anwar kerana taraf dan ‘makam’ beliau yang merupakan ‘Perdana Menteri kabinet bayangan’,” tulis penulis makalah itu.
Guan Eng sebelum ini mengambarkan sikap berkecuali Chin Wen dan Kah Peng sebagai pengkhianatan dan menikam dari belakang. Beliau turut mempertikaikan kemampuan mereka menjadi pengarah yang berkesan di dalam syarikat yang beliau pengerusikan.
Semalam Azmin mempertahankan dua Adun PKR itu, dan berkata mereka sekadar menjalankan tugas dan partinya akan menghantar surat rasmi menyatakan pendirian mereka kepada Kerajaan Pulau Pinang dan Guan Eng berhubung perkara ini.
“Namun apakah ramai yang fikir ‘auman’ dari Azmin itu mampu mengubah pendirian dan keputusan yang dibuat Guan Eng terhadap Ong Chin Wen dan Cheah Kah Peng?
“Apakah Guan Eng sanggup menarik balik keputusan menamatkan khidmat dua Adun itu? Beliau sudah dimalukan sekali di dalam sidang Dun yang dikuasainya, apakah Ketua Menteri DAP itu sanggup dimalukan sekali lagi?”
Penulis berpandangan Guan Eng tidak akan menarik balik keputusan itu, dan surat Azmin berkemungkinan besar tidak akan dilayan.