Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, perkara itu dimaklumkan oleh anggota polis bantuan (PB) Sogo yang menyatakan lelaki dipercayai warganegara Nepal itu mabuk, berdasarkan caranya bercakap dan bau alkohol pada dirinya.
“Lebih kurang jam 9 malam, PB Sogo perasan bahawa seorang lelaki terbaring ke bawah di Dataran Sogo dalam keadaan berdarah.
“PB Sogo dan seorang pengawal keselamatan telah mengangkat lelaki itu dan memberi rawatan kepadanya. Menurut PB, lelaki yang kelihatan seperti Nepal berkemungkinan mabuk bedasarkan pada cara dia bercakap dan bau alkohol pada dirinya.
“Kecederaan hanya dilihat pada hidung sahaja. Setelah PB memberinya sebotol air untuk mencuci mukanya dan selepas itu lelaki Nepal terus bangun dan berjalan ke arah Kompleks Pertama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Zainol turut mengesahkan polis menerima laporan yang dibuat penyanyi terbabit yang merupakan vokalis kumpulan Genji Busker, Mustam Mustapa.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
Isu isteri vokalis kumpulan Genji Busker dipeluk dari arah belakang sewaktu hendak membuat ‘busking’ di Sogo menjadi viral dalam aplikasi Whatsapp.
Mustam yang berang dengan warga asing itu bertindak membelasahnya, menyebabkan warga asing terbabit jatuh dan tercedera serta dibiarkan terbaring di laluan pejalan kaki di Dataran Sogo.
