Portal itu memetik Prof Madya Dr Maketab Mohamed dari Universiti Teknologi Malaysia sebagai berkata aktiviti perlombongan telah mencemari air minum di ibu negeri Pahang itu dengan logam berat yang memudaratkan sekiranya dimasukkan ke dalam badan.
“Hampir kesemua air bagi tujuan makan dan minum (consumption) di Kuantan diambil ke hilir (downstream) lombong-lombong.
“Kesan (pencemaran itu) sepenuhnya tidak diketahui (appreciated) kerana sampel air yang diuji Jabatan Alam Sekitar tidak diambil daripada sungai yang digunakan untuk air minum,” katanya di sebuah forum berkenaan perlombongan bauksit oleh Akademi Sains Malaysia dan Universiti Malaysia semalam.
Kesam keracunan logam berat dirasai di Jepun pada 1950an, dimana penyakit Minamata (lemah kawalan gerakan lembut; lemah otot; deria penglihatan terhad dan rosak pendengaran) dan Itai-Itai (sakit tulang dan sendi; kelembutan tulang dan kegagalan ginjal) dikesan, kata pencinta alam sekitar itu dalam amarannya.
“Dalam kes Itai-Itai, kalsium dalam tulang mangsa diganti kadmium, menyebabkan pencacatan rangka (skeletal deformation) dan sakit teruk.”
Beliau juga memberi amaran pengumpulan logam berat dalam air akan memberi kesan keatas rantaian makanan secara beransur-ansur, justeru beliau menggesa pihak berkuasa supaya memaklumkan dan mendidik masyarakat akan risiko keatas kesihatan mereka.
Seorang lagi pakar alam sekitar, Dr Jamal Hisham Hashim, mencadangkan simpanan stok bauksit dipindahkan jauh dari sumber air bagi mengatasi isu pencemaran.
“Kerajaan Pahang perlu mengetatkan peraturan pemberian lesen perlombongan, dan menjalankan Penilaian Impak Alam Sekitar sebelum mengeluarkan lesen,” kata Profesor Kesihatan Persekitaran di Universiti Malaya itu.