MBPJ ikut jejak langkah DBKL, turap jalan rosak

MBPJ ikut jejak langkah DBKL, turap jalan rosak

Kos pembiayaan menurap jalan akan dibiayai oleh syarikat utiliti terbabit.

Tuan-Mohd-Aziz_jalan_mbpj_600_1

PETALING JAYA :
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengikuti jejak langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan kerja menurap jalan-jalan yang rosak.

Datuk Bandar MBPJ, Tuan Mohd Azizi Mohd Zain berkata, bagaimanapun, kos penyelenggaraan itu akan dibiayai oleh syarikat utiliti terbabit.

“MBPJ bercadang untuk melaksanakan penurapan jalan sendiri tapi dibiayai oleh syarikat utiliti.

“Masyarakat selalunya akan mempersalahkan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) jika jalan tidak diturap walaupun sebenarnya ia adalah tanggungjawab syarikat utiliti,” katanya kepada FMT hari ini.

Tuan Mohd Azizi berkata, kaedah yang akan dilaksanakan itu diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengadu dengan kadar segera.

Pada 9 Februari lalu, DBKL memutuskan syarikat utiliti tidak lagi dibenarkan untuk membuat kerja menurap jalan yang mereka korek.

Sebaliknya, kerja penurapan itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh DBKL dengan kos turapannya akan ditanggung oleh syarikat utiliti terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.