Bekas ahli UMNO, Anina Saaduddin berkata, pemberontakan rakyat Kedah adalah untuk melenyapkan era pentadbiran Perdana Menteri kerana beliau sudah hilang nilai kemanusiaan susulan penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar tanpa alasan munasabah.
“Kenapa rakyat Kedah hari ini bangkit untuk menjatuhkan Najib? Hari ini mereka menjadi saksi kepada seorang manusia yang bertopengkan wajah seakan syurga. Hari ini Najib menyaksikan bahawa prinsip ‘cash is king’ boleh dicabar di negeri Kedah.
“Rakyat Kedah bukan menentang BN kerana menyokong parti lain. Hari ini seluruh Kedah memasang bendera BN terbalik kerana mereka mahu menumbangkan Najib. Seluruh Kedah mahu Najib berhenti dari terus memusnahkan nilai dan sistem kemanusiaan bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia, ” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Anina berkata, selepas apa yang dilakukan Najib terhadap Mukhriz nyata membuka mata mereka untuk memberontak secara terang-terangan.
“Ketika saya mengheret Datuk Seri Najib ke mahkamah penghujung Ogos 2015, keadaan di Kedah adalah bercampur baur. Sokongan kepada Presiden UMNO masih ada ketika itu.
“Malah ramai juga UMNO Kedah yang gagal memahami perkara pokok apatah lagi apabila Datuk Seri Mukhriz dilihat bukanlah pemimpin UMNO yang memberi sokongan kepada saya.
“Saya rakyat marhaen. Rakyat marhaen sudah hilang sabar dengan Presiden UMNO. Jadi, saya tidak perlu ‘consent’ daripada Datuk Seri Mukhriz untuk bercakap benar bagi didengari oleh Presiden UMNO. Sudah dibilang jangan kencing rakyat pun, Najib belum dengar. Hari ini Datuk Seri Mukhriz juga menjadi mangsa kejahatan politik Najib,” katanya.